Allah swt sebaik-baik tempat diserahkan segala urusan


Firman Allah: Aku akan bersama dengan sangkaan hambaKu kepadaKu, maka hendaklah dia berprasangka dengan apa yang dia inginkan ( yakni: BUKAN dengan apa yang dia risaukan atau khuatirkan) ~ Hadis Qudsi Riwayat Thabbarani dan Al-Hakam.

Monday 13 February 2012

Mengapa kadang-kadang aku alim, kadang-kadang aku zalim

Hidup ini kita tidak boleh nak kata, banyak sebenarnya benda yang kita tidak tahu, melainkan Allah swt yang mengetahui rahsianya. Sungguh banyak benda yang kita tidak jangka sama sekali berlaku dalam kehidupan ini.

Ada manusia yang malamnya kuat beribadah, tapi siangnya kecundang dengan penangan hawa nafsu dan maksiat. Ada yang kita lihat dulunya dia sangat kuat berdakwah, suka menasihat, kuat tarbiahnya, kuat amalannya, namun pada hari ini gugur entah ke mana.

Benda ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, hatta iblis yang dahulu terkenal di kalangan malaikat sebagai hamba Allah swt yang soleh dan dekat dengan Allah swt, namun apabila Allah swt menghendaki sesesorang hambaNya sesat, tiada siapapun yang dapat menghalang apatah lagi manusia biasa yang sangat lemah.

Oleh itu, istiqamah benda yang sangat ajaib sekiranya dapat dilakukan. Sehinggakan amalan kecil sekiranya kita istiqamah melakukannya mampu mengatasi amalan-amalan yang hebat dan besar. Sebab itu Islam menganjurkan kita bersederhana dalam beribadat dan tidak gopoh untuk mencegah penyakit futur.

Diriku sendiri pun pernah mengalami dan merasai sendiri putaran roda dalam kehidupan ini. Ada masanya diriku sungguh kuat beramal ibadah sehinggakan syaitan dan nafsu juga tidak mampu menghalang ibadatku. Amalan-amalan wajib, sunat kesemuanya ku pulun perabis. Itu cerita saat diriku tengah kuat. Namun bak kata pepatah Melayu, "ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari." 

Namun, sebagai manusia biasa, ada masa kita akan lemah. Itu adalah perkara normal dalam kehidupan ini. Saat itu, aku jatuh terduduk, tersembam dan kekuatanku seperti dipijak-pijak oleh sesuatu yang amat berat. Syaitan dan konco-konconya sudah tentu berpesta melihat keadaanku yang sangat lemah. Tiada tempat mengadu selain Allah swt. Walaupun dalam keadaan berat dan malas, aku gagahi juga bersujud memohon pertolongan. Allah swt lah sebaik-baik wakil dan penjaga.

Aku merasai sendiri betapa peritnya untuk bangkit semula apabila diri telah 'down'. Untuk bangun semula bukanlah sesuatu yang mudah kerana diri telah terluka dengan sangat teruk. Namun, apabila difikir-fikir semula, ada sebab dan hikmah mengapa Allah swt merasakan kepada hamba-hambaNya situasi seperti itu.  Di kala itulah kita mula menghisab dan muhasabah semula apa yang perlu dipelajari di saat kita lemah. Namun, apabila kita serahkan urusan hidup kita kepada Allah swt dan kita bertawakal kepadaNya, nescaya Allah swt tidak akan meninggalkan kita begitu sahaja. Akan ada pertolongan daripada Allah swt melalui pelbagai cara dan kaedah.

Entry ini saya tulis untuk mengingatkan diri ini betapa bahayanya penyakit futur serta wabak-wabak yang akan mengikuti di sepanjang medan dakwah. Penyakit-penyakit ini sekiranya tidak dicegah dan dirawati sebaik mungkin akan membahayakan gerakan dakwah. Betapa ramai yang tergelincir, terus merajuk dan tidak mahu lagi bangkit. Betapa ramai yang tersembam mengharapkan huluran bantuan sahabat-sahabat, namun tiada siapa sudi menghulurkan tangan membantu. Tidak kurang juga yang menghilang tanpa khabar berita, sehingga menjadi lebih teruk daripada mad'unya dahulu. Nauzubillah..

Janganlah kita sesekali merasa takabbur dengan kekuatan sementara yang Allah swt pinjamkan. Janganlah sesekali kita memandang rendah kepada orang yang sedang merangkak dalam memperjuangkan agama Allah swt ini. Hari ini hari kita, dan belum tentu hari esok hari kita.

Dan kepada mereka yang lemah semangat, merasakan diri tidak bernilai di mata manusia, janganlah sesekali putus asa dari rahmat Allah swt. Allah swt senantiasa membukakan pintu keampunan dan rahmat kepada hambaNya. Mohonlah kepadanya di sepertiga malam terakhir memohon kekuatan dan dipermudahkan segala urusan. InsyaAllah :) 




Roda kan berputar, kadang di bawah, kadang di atas...Allahu Rabbi

Demi Masa

Kalaulah aku boleh balik semula zaman sekolah dahulu, mesti aku boleh dapat nombor satu dalam kelas. Kalaulah aku boleh balik semula masa tue, mesti aku bawak kereta elok-elok dan mesti kawan aku tak mati. Kalulah aku boleh balik semula masa tue, mesti aku tak tinggalkan adik aku sorang-sorang kat taman tue, dan mesti adik aku tak kena culik. Kalaulah aku boleh balik semula masa tue, mesti aku tak sia-siakan pengorbanan ibu dan bla-bla.

Hakikatnya dalam kehidupan ini, kita kadang-kadang selalu dirundung dengan penyesalan-penyesalan yang lampau. Kalaulah betol-betol ada mesin masa Doraemon, tentu bestkan. Bolehlah kita balik semula pada masa kita wat silap tue dan perbaikinya semula. Tapi itu mustahil. Masa yang dah berlalu tidak sesekali boleh dikembalikan. Apa yang kita ada adalah maju ke hadapan dan jadikan kesilapan yang lampau sebagai guru terbaik untuk memandu kita melalui tingkat kehidupan yang seterusnya.

Tak perlu diceritakan lagi betapa pentingnya masa dalam kehidupan seseorang manusia. Semua dah sedia maklum akan kepentingannya kan. Tapi mengapa kita sering lalai dan alpa dengan masa? Kita seolah-olah membiarkan saja modal terpenting yang Allah swt anugerahkan kepada kita tanpa rasa menyesal dan sedih.

Lupakah kita bahawa Rasulullah saw pernah mengingatkan umatnya tentang penyakit 'kronik' yang akan menimpa umatnya di akhir zaman ini? Antara pesanan baginda Daripada Abdullah Ibn Abbas RA katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan”. (Hadis riwayat al-Bukhari). Dari hadis ini jelas menunjukkan kebanyakan manusia selalu merugikan masa lapang yang dimilikinya.

Lebih-lebih lagi aspek pengurusan masa perlu ditekankan kepada mereka yang berjuang untuk menegakkan agama Allah swt. Tugas ini bukanlah tugas yang ringan. Masa sentiasa mencemburui mereka. Masa yang mereka ada sebenarnya tidak mencukupi berbanding dengan amanah yang tertanggung di bahu mereka. Oleh kerana itu imam Hassan Al Banna berwasiat kepada para pendokong dakwah “Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya.”

Malah kegagalan kita mengurus masa juga boleh mengancam kehidupan kita. Saidina Ali berkata, “Masa itu umpama pedang. jika kamu tidak ‘memenggalnya’, nescaya ia akan ‘memenggal’ lehermu.” Manusia yang buruk akhlaknya terlalu ramai kalau nak dinisbahkan dengan orang yang baik akhlaknya. Orang yang lalai dari pegangan agama juga terlalu ramai kalau nak dibandingkan dengan orang yang berpegang teguh dengan agama Islam. Oleh itu, kita sebenarnya kesuntukan masa dan kesuntukan daie' yang mampu berdakwah dan melatih orang lain untuk turut sama dalam medan dakwah. Oleh itu bayangkanlah bagaimana keadaannya ketika kerja dakwah makin banyak menimbun ini terpikul atas bahu segelintir pendakwah sahaja yang inginkan kedamaian, kesejahteraan, kebaikan dan ketenangan di dunia dan akhirat.

Oleh itu semua yang bergelar manusia, tidak kiralah di lapangan mana sekalipun kita berada, manfaatkanlah dan hargailah masa yang berbaki sebelum kita dipanggil pulang oleh Ilahi. Akhirnya hayatilah pesanan Rasulullah saw mengenai masa.

Bersedialah..

1.Masa kaya sebelum miskin
2.Masa lapang sebelum sempit
3.Masa sihat sebelum sakit
4.Masa muda sebelum tua
5.Masa hidup sebelum mati



 Hayatilah bait lagu ini. Dengarlah tiap-tiap hari. Moga ianya sedikit-sebanyak mampu memotivasikan diri dalam menempuhi kehidupan yang penuh dengan dugaan dan cabaran. InsyaAllah :)